16
 
Jan
 
2023
 · 
Kempen

Surat Terbuka Kepada Fadhlina Sidek: Perbicaraan Anda di Mahkamah Tinggi Bagi Kes Guru Ponteng

Kepada: Menteri Pendidikan. Daripada: Pemberi Maklumat Guru.

Sejak tujuh tahun lalu, empat murid Sabah dari SMK Taun Gusi, Kota Belud, Sabah (kod sekolah: XEA5351) menjadi mangsa dan pemberi maklumat terhadap penyalahgunaan kuasa, ancaman, keganasan dan kecuaian Kementerian Pendidikan di kampung Sabah.

Bagaimana? Kali pertama dalam sejarah, wanita ini membuat rakaman video & audio yang membuktikan guru mereka tidak mengajar selama berbulan-bulan. Dan pihak pentadbir sekolah melindungi guru tersebut. Mereka rakam pengetua, PK1, dan pentadbir lain. Dengan bukti ini, mereka menyaman Kementerian Pendidikan dan enam Defendan lain ke Mahkamah Tinggi. Untuk tindakan bersejarah ini, injunksi Mahkamah Tinggi mengesahkan mereka diugut oleh pegawai KPM selepas kes difailkan dan ini diklasifikasi sebagai campur tangan Kementerian Pendidikan dalam bidang Kehakiman. Kami terkejut: saksi yang ada bukti diserang. Kes ini bertentangan dengan integriti dan nilai kemanusiaan.

Malaysia mempunyai sedikit contoh dalam sejarah kita tentang rakyat biasa yang berjuang secara luar biasa seperti Plaintif-Plaintif ini:

  • Siti Nafirah: ibu kepada dua orang anak; dibesarkan oleh ibu tunggal
  • Calvina: anak perempuan nelayan; keluarganya pernah hidup bertahun-tahun tanpa elektrik
  • Rusiah: anak perempuan penternak ayam; keluarganya hampir memukulnya dengan kayu broti selepas dia enggan menarik balik litigasinya; dilindungi oleh kakaknya
  • Nur Natasha: anak perempuan bekas pegawai polis; dipaksa oleh keluarganya untuk menggugurkan pengajian tingkatan enam selepas dia enggan menarik balik litigasinya

Pengalaman mereka tidak unik dari segi keganasan, tetapi mereka unik dari segi bukti. Sebilangan besar sekolah menggunakan modus operandi yang sama untuk menutup kes penderaan seksual, buli, perkauman, penipuan, rasuah dan kecuaian. Modus operandi ini memberi mesej kepada rakyat bahawa Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Unit Integriti, Unit NAZIR, Unit Hal Ehwal Undang-undang, dan Pegawai Khas tidak akan dimaklumkan secara jujur oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pentadbir sekolah, mahupun guru.

Selepas beberapa dekad tanpa tindakan, pelajar ini menjadi pemberi maklumat untuk melindungi komuniti mereka daripada pegawai KPM yang berbahaya. Pada Oktober 2022, rakaman audio & video mereka telah dikemukakan dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi (BKI-22NCvC-88/11-2020) terhadap Kementerian Pendidikan, pengetua sekolah dan guru. Wanita ini memberi inspirasi kepada negara sambil mereka tinggal di kampung dalam salah satu daripada sepuluh daerah termiskin di Malaysia (P169 Kota Belud).

Momen begini jarang berlaku, YB Fadhlina.

Sebagai seorang ibu,  peguam yang dihormati, aktivis, dan Ahli Parlimen, Menteri Pendidikan mempunyai peluang sekali seumur hidup dan kuasa luar biasa untuk bertindak segera bagi melindungi institusi keadilan. Sebagai pemberi maklumat KPM, kami tahu bahawa kisah wanita-wanita ini dialami oleh kebanyakan kita.

Apa yang kita harapkan daripada oleh sebuah Kementerian yang mempunyai nilai kemanusiaan? Apa yang kita tahu jika Kementerian berpaling tadah daripada undang-undang yang jelas?

Tindakan Segera Melindungi Pelajar, Guru dan Institusi

Tindakan ini adalah langkah kecemasan–perbicaraan Mahkamah Tinggi diteruskan pada 10 - 11 Januari 2023 di mana beberapa guru akan memberi testimoni. KPM tidak boleh menjadi alat undang-undang kepada pegawai KPM yang korup dan ganas untuk melindungi diri mereka sendiri.

  1. YB  Fadhlina DISYORKAN mengeluarkan pekeliling Kementerian yang mengingatkan sekolah, PPD, JPN, dan pegawai KPM bahawa sebarang tindakan balas secara rasmi atau tidak rasmi terhadap pemberi maklumat adalah kesalahan disiplin yang besar. Di bawah Akta SPRM 2009, definisi (f), perlindungan salah laku penjawat awam ialah suapan jenayah dan rasuah.
  2. YB Fadhlina DISYORKAN untuk mengesahkan dan mengenalpasti perlindungan pemberi maklumat dari peringkat paling asas: guru yang memberi keterangan di Mahkamah yang mendedahkan salah laku mesti dilindungi daripada sebarang tindakan balas. Walaupun perlindungan sedemikian "dijamin" oleh Kementerian dan Mahkamah, ia bukanlah realiti di peringkat akar umbi seperti sekolah di daerah luar bandar, pedalaman dan / atau miskin.
  3. Kementerian Pendidikan DISYORKAN untuk memberikan permohonan maaf secara rasmi kepada tiga wanita itu, selepas Kementerian dikenakan injunksi Mahkamah Tinggi pada September 2021 kerana menghalang proses Kehakiman. Lagipun, Peguam Negara tidak membela ataupun merayu terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut, malah Menteri Pendidikan ketika itu langsung tidak bertindak. Apakah contoh ini yang diberikan oleh Kementerian? YB Fadhlina juga DISYORKAN, agar menggunakan rakaman audio tersembunyi Plaintif yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi melalui injunksi, untuk melihat bentuk tindakan tatatertib yang sesuai terhadap pegawai KPM yang dinamakan di Mahkamah. Tindakan tersebut sudah diketahui sebagai salah laku terang-terangan, tidak bertanggungjawab, dan berniat jahat terhadap rakyat Sabah & proses kehakiman.
  4. Kementerian Pendidikan DISYORKAN menyemak dakwaan penting yang dibuat oleh pemberi maklumat guru baru-baru ini pada perbicaraan bulan November. Bukti ini secara langsung bercanggah dengan Pembelaan Kementerian Pendidikan bahawa Defendan Pertama memasuki kelasnya secara konsisten. Namun dia kekal sebagai seorang lagi pemberi maklumat yang tidak dilindungi. Dakwaan lain termasuk:
  • Defendan Pertama (Guru Jainal Jamran) memberi ancaman bunuh terhadapnya agar tidak mendedahkan salah lakunya. Dua guru kanan menakut-nakutkannya untuk menghalang pendedahan selanjutnya, menyuruhnya "jaga imej sekolah".
  • Defendan Kedua (Pengetua Suid Hanapi) telah berulang kali menolak keterangan ketidakhadiran Defendan Pertama yang dikemukakan kepadanya, untuk melindungi salah laku orang bawahannya dan dirinya sendiri setelah enggan bertindak selama bertahun-tahun.
  • Defendan Kedua (Pengetua Suid Hanapi) telah secara konsisten memanipulasi data dan laporan sekolah, disahkan dalam rakaman tersembunyi dengan pendedahan seorang guru kanan di sekolah yang sama. Matlamat Defendan Kedua adalah untuk menjamin imej dan reputasinya sebagai Pengetua Cemerlang.
  • Defendan Pertama (Guru Jainal Jamran) tidak hadir dalam Kelas 4 Sains Sukan pada September 2017, melalui rakaman GoPro dalam kelas yang membuktikan percanggahan dalam Pembelaan Defendan yang mendakwa "Perenggan 14 Pernyataan [Plaintif] tuntutan ditolak. Defendan Pertama tidak pernah meninggalkan tugasnya mengajar pelajar 4SS atau gagal, enggan, dan atau/abai untuk memasuki kelas tersebut.”

Cukup-cukuplah. Tanggungjawab undang-undang, moral dan negara oleh Kementerian Pendidikan kini diuji. Golongan pegawai ini sejak 2015, daripada KPM, JPN, PPD, dan sekolah, berkali-kali mendakwa mereka jujur, pelajar yang berbohong, namun hanya mengeluarkan sedikit bukti, dan kemudian mengugut saksi pelajar dan saksi guru.

KPM seharusnya mengalu-alukan dasar terbuka untuk pemberi maklumat sekolah bersuara mengenai salah laku & penganiayaan untuk menghapuskan budaya takut, sikap tidak peduli dan berdiam diri mengenai rahsia terbuka.

Surat ini dihantar kepada 'CSO Platform for Reform' dan kemudian kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada minggu terakhir Disember 2022. Menteri Pendidikan Malaysia adalah Defendan selama empat tahun. Sementara itu, kita telah menjalani perbicaraan selama tiga hari sejak PRU15: 23 November 2022, 10 Januari 2023, dan 11 Januari 2023. Sehingga kini, Kementerian Pendidikan tidak mengambil mana-mana cadangan ini secara terbuka. Salinan surat ini telah diubah sedikit untuk melindungi kerahsiaan pemberi maklumat dan untuk kejelasan.

Tiada.Guru

“Budaya takut bersuara ini mesti berakhir.”

Gunung Kinabalu, Sabah | Ong Cheng Zheng ⤤ di Unsplash ⤤