13
 
Jun
 
2023
 · 
Kempen

Menyatukan Rakyat Malaysia dengan Memberikan Pencerahan

Pemberi maklumat secara uniknya menyatukan rakyat Malaysia ke arah menjalankan kewajipan negara yang berani.

Kita tidak mungkin berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam tidak sepenuhnya bersama saya ... negara ini memerlukan perubahan untuk ke tahap yang pernah kita capai dulu malangnya merosot balik ekonominya, baik kestabilannya ataupun disiplinnya ... Tentunya Tan Sri Peguam Negara (Idrus Harun) tahu mengenai pelanggaran hukum termasuk isu-isu penyelewengan dan rasuah ...

— YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia (29 Nov 2022)

Portfolio saya dalam Jabatan Perdana Menteri berurusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi melibatkan usaha yang merentasi kerajaan. Fokus utama portfolio ini adalah untuk menyemak semula undang-undang yang lapuk dan membuat pindaan yang diperlukan agar undang-undang tersebut relevan pada masa kini. ...  jika perlu, undang-undang yang sedia ada dipinda untuk mengembalikan hak kesaksamaan kepada rakyat yang terpinggir mengikut lunas-lunas Perlembagaan Malaysia, dan yang tidak diberi layanan sama rata di negara kita.

— YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri (3 Dis 2022)

Setelah berdekad-dekad lamanya rayuan, laporan dan skandal didiamkan: kami, pemberi maklumat perkhidmatan awam telah menunggu janji-janji yang serupa, namun dimungkiri. Tiada lagi alasan: Pencerahan harus dilimpahkan ke segenap sudut negara Malaysia yang tercinta ini. Kabinet Perpaduan yang bersejarah hari ini boleh dan mesti menetapkan semula hala tuju yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia dengan cara menguatkuasakan perlindungan undang-undang terhadap wira-wira negara, iaitu pemberi maklumatnya dengan segera.

Pemberi maklumat menanggung akibat buruk apabila Kabinet tahun 2013 (Najib), 2018 (Mahathir), 2020 (Muhyiddin), dan 2021 (Ismail Sabri) secara tidak bertanggungjawab mengabaikan rintihan dan rayuan perkhidmatan awam. Malah, mereka meninggalkan bebanan bernilai jutaan ringgit kepada generasi masa hadapan, institusi awam yang berisiko tinggi boleh korup, dan kualiti hidup yang rendah—ditakdirkan untuk kaku tidak bergerak—untuk rakyat Malaysia yang marhaen.

Pemberi maklumat boleh menyatukan negara dengan cepat, jelas, dan mampan: kami wujudkan lingkaran pengukuhan positif yang secara langsung menyelesaikan kegagalan yang berlaku di setiap daerah. Pemberi maklumat memberi inspirasi kepada pemberi maklumat yang lain. Kami berada di lapangan di mana Ahli Parlimen tidak berada: di sekolah, hospital, balai polis, jabatan pentadbiran, dan setiap peringkat Kementerian.

Kekurangan perlindungan untuk pemberi maklumat di Malaysia sendiri adalah skandalnya: siapakah yang mendapat manfaat apabila beribu-ribu pemberi maklumat diserang, manakala ahli politik dan pegawai kanan perkhidmatan awam menolak perlindungan undang-undang penuh dan bebas? Status quo Malaysia untuk pemberi maklumat adalah memalukan di peringkat antarabangsa dan suatu penghinaan awam: sekumpulan pegawai yang korup di peringkat atasan telah menukar berjuta-juta kemajuan rakyat Malaysia untuk kekayaan peribadi, kuasa, dan imuniti mereka sendiri. Sementara itu, wira pemberi maklumat Malaysia sedang menuju ke arah kepupusan, tidak dapat mendedahkan skandal sivil dan jenayah yang sangat besar, ketidaksamaan yang luar biasa, dan ketirisan yang mengejutkan. Kabinet Perpaduan ini perlu segera melakukan reformasi preskriptif dan undang-undang bagi melindungi pemberi maklumat yang memilih kebenaran dan kemakmuran negara berbanding keselamatan diri.

Kebanyakan pemberi maklumat yang terancam di Malaysia tidak boleh mempercayai Cabang Eksekutif untuk menawarkan perlindungan yang serius, wajar dan adil kepada pemberi maklumat. Justeru, Kabinet Perpaduan juga perlu menubuhkan Ombudsman Awam iaitu "Pembela Rakyat" yang menyiasat salah laku teruk dalam kalangan penjawat awam dan menawarkan sumber sehenti kepada pemberi maklumat iaitu perlindungan, siasatan dan hinggalah tindakan tatatertib atau undang-undang. Kes-kes yang paling serius harus mempunyai siasatan bebas dan hanya Ombudsman Awam yang dapat memberikan jaminan keselamatan itu.

Setiap Kementerian mesti mengeluarkan dan melaksanakan Pekeliling, yang berkuatkuasa serta-merta, yang:

  1. Menyatakan bahawa sebarang tindakan balas tidak rasmi atau rasmi terhadap pemberi maklumat adalah salah satu kesalahan tatatertib tertinggi dan tidak lagi diterima.
  2. Menyatakan bahawa melindungi pesalah tatatertib, sivil atau jenayah yang didakwa adalah satu bentuk suapan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 dan akan didakwa.
  3. Memberi perlindungan automatik tindakan tatatertib jika pemberi maklumat memberi keterangan dalam prosiding Mahkamah sivil atau jenayah.

Parlimen mesti segera merangka, membincangkan, dan meluluskan pindaan utama kepada undang-undang negara yang mempunyai kesan retroaktif:

  1. Pindaan untuk menghapuskan peruntukan anti-pemberi maklumat yang bercanggah dan samar-samar secara sengaja yang mendiamkan pendedahan: Peraturan-Peraturan Pegawai Awam & Tatatertib 1993 – Seksyen 19; Kanun Keseksaan – 203A; Akta Hasutan 1948 – hampir keseluruhannya; Akta Rahsia Rasmi 1972 – hampir keseluruhannya
  2. Memperluaskan perlindungan sivil dan jenayah kepada mangsa, keluarga, dan saksi
  3. Meminda sebahagian besar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010:
  • Benarkan pemberi maklumat dapatkan nasihat undang-undang tanpa kehilangan perlindungan
  • Benarkan pemberi maklumat melaporkan kepada entiti di luar Cabang Eksekutif tanpa kehilangan perlindungan. Contoh: Prosiding mahkamah, SUHAKAM, permohonan kendiri, pihak media.

Parlimen mesti menubuhkan Ombudsman Awam di luar Cabang Eksekutif:

  • Ombudsman ini akan menerima, menyiasat, menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat, dan mengambil tindakan undang-undang atau tatatertib dalam kes salah laku perkhidmatan awam yang teruk.
  • Menetapkan peratusan khas bagi Ombudsman Awam daripada jumlah Belanjawan Persekutuan; Pesuruhjaya utamanya harus diambil dari warga undang-undang, tadbir urus Pertubuhan Masyarakat Sivil & institusi penyelidikan yang baik, dan pakar bidang (contohnya, bidang kesihatan, kanak-kanak, alam sekitar). Ahli politik, penjawat awam serta bekas penjawat awam mesti dikecualikan kerana persepsi atau konflik kepentingan sebenar dengan penyiasatan ke atas perkhidmatan awam.
  • Ia mempunyai jabatan khusus yang memberi tumpuan kepada penduduk terpinggir: komuniti luar bandar atau miskin, Orang Asli, Malaysia Timur, OKU, warga tua, kanak-kanak, wanita

Penandatangan:

  1. Kasthuri Patto
  2. G25
  3. Parents Action Group for Education (PAGE)
  4. Aliran
  5. Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls)
  6. Society for Equality, Respect And Trust for All Sabah (SERATA)
  7. Klima Action Malaysia (KAMY)
  8. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
  9. Undi Sabah
  10. KauOKTak
  11. HIVE Educators
  12. PACOS Trust
  13. Justice for Sisters
  14. Save The Schools MY
  15. Freedom Film Network
  16. Agora Society Malaysia
  17. Saiful Nizam
  18. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  19. The Center to Combat Corruption and Cronyism 
  20. Engage Network
  21. Rangkaian Solidariti Demokratik Pesakit Mental (SIUMAN)
  22. Monsters Among Us
  23. The Tiada.Guru Campaign

Tiada.Guru

“Budaya takut bersuara ini mesti berakhir.”

Mentol lampu elektrik oleh @ComicsByVien ⤤