22
 
Sept
 
2023
 · 
Kempen

Menurut Murray Hunter, "Guru ponteng: Masalah pendidikan terbesar di Malaysia"

"Masalah ini lebih kerap berlaku di kawasan luar bandar yang miskin dan menyumbang kepada kitaran kemiskinan yang berterusan."

Catatan ini adalah salinan artikel oleh Murray Hunter yang disiarkan di Free Malaysia Today ⤤ dan Substack beliau ⤤.

Murray Hunter ialah seorang inovator, usahawan, pengarang terkenal, pemikir, dan bekas profesor di Unimap dan PSU Thailand.

Salah satu isu yang paling kurang dipandang dalam sistem sekolah kerajaan, guru ponteng atau ketidakhadiran, telah diketengahkan dalam kes mahkamah baru-baru ini di Kota Kinabalu.

Tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi di Kota Belud, Sabah, telah memenangi kes sivil di Mahkamah Tinggi terhadap bekas pengetua sekolah, iaitu Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan persekutuan.

Kes itu melibatkan bekas guru mereka, Jainal Jamran, yang telah ditugaskan untuk mengajar Bahasa Inggeris selama tiga jam seminggu, tetapi tidak hadir ke kelas selama tujuh bulan dari Januari hingga Oktober 2017.

Turut didedahkan semasa perbicaraan tersebut ialah isu rasuah dan nepotisme umum dalam sistem persekolahan. Terdapat percubaan seorang bekas pengarah pendidikan yang mempunyai hubungan baik dengan Jainal untuk menutup kejadian ponteng tersebut dengan menulis tarikh yang ‘backdated’ dalam buku kehadiran kelas guru.

Kes itu juga mendedahkan secara terbuka penggunaan ugutan bunuh terhadap salah seorang rakan guru Jainal, iaitu pemberi maklumat Nurhaizah Ejab, yang turut dipancit tayar keretanya sebagai satu tindakan balas dendam.

Salah satu pemerhatian yang lebih menakjubkan yang timbul daripada kes ini ialah bagaimana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertahankan kes itu dengan begitu kuat.

Kes bersejarah

Kes bersejarah ini telah mendedahkan salah satu daripada masalah utama dalam sistem sekolah menengah, dan cubaan-cubaan untuk menutupnya.

Tidak dinafikan, ketidakhadiran guru ke dalam kelas sama ada di sekolah rendah dan menengah adalah jauh lebih meluas daripada apa yang dipercayai oleh kebanyakan orang luar.

Ia boleh menjadi penyebab utama prestasi yang rendah bagi ramai pelajar, terutamanya di kawasan luar bandar yang miskin di seluruh Malaysia.

Masalah berlarutan

Kes ketidakhadiran guru di Malaysia tidak dilaporkan selama lebih 14 tahun. Menurut Tiada Guru, sebuah NGO di Sabah, laporan OECD pada tahun 2009 menunjukkan bahawa 19.5 peratus pengetua-pengetua sekolah di Malaysia telah melaporkan ketidakhadiran guru.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kebanyakan masalah tersebut masih tidak dilaporkan kerana penyembunyian yang disengajakan, pemalsuan rekod, dan nepotisme di kalangan kakitangan.

Terdapat budaya ketakutan yang menghalang para pelajar sekolah daripada melaporkan ketidakhadiran guru, disebabkan kekuasaan yang tidak sama rata antara pelajar dan guru di Malaysia.

Mungkin statistik yang paling ketara ialah antara 2010 dan 2017, 55.4% kes disiplin yang didengar oleh Kementerian Pendidikan melibatkan ketidakhadiran guru.

Apakah akibat utamanya?

Ketidakhadiran guru adalah sama seperti masalah di sekolah, seperti isu kurikulum, pedagogi dan saiz kelas.

Ia meletakkan pelajar – yang mesti menunjukkan prestasi yang baik dalam peperiksaan untuk layak melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi –  ke dalam masalah yang besar.

Menurut Tiada Guru, masalah ini lebih kerap berlaku di kawasan luar bandar yang miskin, berbanding di kawasan bandar, dan ia menyumbang kepada kitaran kemiskinan yang berterusan.

Kelulusan peperiksaan yang lebih rendah secara langsung menjejaskan tahap pendapatan. Seorang pemegang diploma memperolehi 1.4 kali ganda lebih daripada seseorang yang hanya lulus SPM, manakala seorang pemegang ijazah memperolehi 2.3 kali ganda lebih. Kadar literasi kekal lebih rendah di luar bandar berbanding di bandar.

Oleh itu, ketidakhadiran guru adalah lebih daripada isu pendidikan. Ia penyebab kemiskinan keluarga di luar bandar.

Ketidakhadiran guru juga menyumbang kepada kes pelajar ponteng. Apabila tidak ada guru yang menyelia di dalam kelas, para pelajar akan tertanya-tanya atau langsung tidak hadir ke kelas.

Ramai pelajar yang ibu bapa mereka bekerja dan mahu anak-anak mereka membantu dengan tugasan rumah, atau perniagaan keluarga. Mereka yang tidak bernasib baik mungkin terbiar di luar kelas, dan terlibat dalam penggunaan narkotik akibat rasa bosan.

Terdapat masalah ketagihan dadah yang besar di kalangan remaja di luar bandar Malaysia hari ini. Ketidakhadiran guru mesti dihapuskan agar ia tidak menyumbang kepada masalah tersebut.

Gambaran buruk profesion

Ketidakhadiran guru adalah gejala ketidakpuasan hati dalam profesion perguruan. Ramai yang mempunyai tahap motivasi yang rendah. Yang lain pula tidak sesuai dengan profesion ini. Sebahagian yang lain menggunakan masa dengan cara yang tidak jujur dengan menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mencari pendapatan lain.

Motivasi guru merupakan salah satu isu yang perlu dilihat oleh KPM dengan teliti.

Tiada apa-apa yang dilakukan mengenai masalah ini

Ketidakhadiran guru telah dirahsiakan di peringkat sekolah, jauh daripada KPM, untuk menjaga reputasi.

Budaya pengurusan sekolah adalah untuk melibatkan diri dalam penutupan, dengan masalah kakitangan disimpan “di peringkat dalaman”, di luar sistem disiplin kementerian. Malangnya, banyak masalah lain yang lebih daripada ketidakhadiran guru turut disembunyikan. Ini termasuk kecurian, rogol, dan pencabulan.

Bekas timbalan ketua (pencegahan) Shamshun Jamil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berkata hanya 0.01% penjawat awam yang berani melaporkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Setelah mendengar kisah ugutan yang didedahkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu [sic], perkara ini amat difahami.

Ketidakhadiran guru merupakan halangan utama terhadap standard pendidikan. Peraturan tatatertib tidak dikuatkuasakan untuk mengelakkan perkara ini. Penyelesaiannya ada tetapi tidak digunakan.

Isu ini amat menjejaskan taraf pendidikan sekolah-sekolah di Malaysia dan ia mesti ditangani secara berterusan. Seorang guru yang tidak hadir memberi kesan kepada sehingga 50 pelajar.

Ia mesti diselesaikan sebelum sebarang pembaharuan lain difikirkan.

Pandangan yang dikemukakan adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan FMT.

Pautan Artikel Asal untuk Perkongsian:


Tiada.Guru

“Budaya takut bersuara ini mesti berakhir.”

Kundasang, Sabah | oleh Esmonde Yong ⤤ di Unsplash ⤤