30
 
Mei
 
2023
 · 
Kempen

Petisyen: Berikan perlindungan kepada Cikgu Nurhaizah Ejab, guru pemberi maklumat KPM dari Sabah

Cikgu Nurhaizah membesar di Kg. Taun Gusi → pelajar SMK Taun Gusi → guru SMK Taun Gusi. Dia seorang wira negara.

Pada November 2022, bekas Cikgu Bahasa Inggeris saya Nurhaizah Ejab telah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi. Berikutan PRU15, kebanyakan media tidak melaporkan keterangan beliau. Beliau merupakan pemberi maklumat bersejarah dalam Kementerian Pendidikan. Namun, sehingga hari ini Cikgu Nurhaizah tidak diberikan jaminan perlindungan selaku pemberi maklumat. Dimanakah ahli politik, polis, SPRM dan Kementerian Pendidikan?

  1. Pihak polis dan SPRM perlu menyiasat sebarang tindakan jenayah yang dikongsi oleh Cikgu Nurhaizah dan ketiga-tiga Plaintif melalui keterangan, dokumen dan rakaman audio video mereka.
  2. Kerajaan perlu segera memberi perlindungan penuh kepada Cikgu Nurhaizah. Perbicaraan ke-2 nanti, beliau akan dipanggil sekali lagi bagi memberikan kenyataan terhadap Defendan yang sama.
  3. Semua Ahli Parlimen perlu menyokong undang-undang perlindungan pemberi maklumat yang bebas daripada Badan Eksekutif. Mengapa kakitangan kerajaan mengancam pemberi maklumat guru kita? Guru bersedia untuk bersuara.
  4. Semua Ahli Parlimen mesti menyokong Ombudsman Awam yang bebas untuk menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya. Sudah-sudahlah dengan siasatan dan tindakan dalaman KPM.

Dalam keterangan Cikgu Nurhaizah di Mahkamah Tinggi yang dilaporkan oleh Malaysiakini, The Borneo Post, dan The Daily Express, beliau membuat pendedahan berikut:

  • "Saksi utama memberi keterangan di hadapan Hakim Leonard David Shim bahawa isu guru tidak memasuki kelas dilaporkan pada 2015."
    • "Saya membuat salinan Buku Kawalan semua kelas dan itulah cara saya mengetahui terdapat kes lain yang serupa.”
    • "Saya memberikan bukti ini kepada pengetua, tetapi ditolak. Pengetua sebaliknya meminta saya untuk menulis laporan penuh. Apabila saya membuat laporan penuh, dia menolaknya sekali lagi dengan mengatakan ia laporan tidak berkualiti jika digunakan sebagai bukti."
    • "Saya juga diugut oleh Ketua Bidang Bahasa, Cikgu Norhana, dan seorang lagi guru lelaki Bahasa Inggeris, Cikgu Awang Erawan, mengatakan bahawa jika saya menyuarakan isu tersebut dalam mesyuarat bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), saya akan kehilangan sokongan penuh sekolah.”
    • "Saya dimalukan, dimarahi, dipersalahkan, dikambing hitam dan diancam bunuh dua kali.  Tayar kereta saya dipancit selepas beberapa hari menerima ugutan bunuh."
  • "Dia berkata aduan dan laporannya juga tidak dipedulikan pada 2015. Apabila isu tersebut diulangi oleh guru yang sama pada 2017, dia mengambil strategi berbeza."
    • "Ini termasuk membuat 80 rakaman video pada masa Jainal sepatutnya mengajar tetapi tidak hadir, katanya."
    • "Dia mengambil inisiatif untuk menyembunyikan kamera GoPro di dalam kotak kitar semula dan meletakkannya di dalam kelas Sains Sukan tingkatan empat supaya pelajar tidak menyedarinya."
    • "Kepada soalan, dia berkata bahawa dia merakam banyak video yang mana dia mempunyai 80 fail rakaman yang diambil di dalam bilik darjah tersebut sepanjang September 2017 dan dalam tempoh itu, Encik JJ tidak pernah memasuki kelas itu."
  • Apabila ditanya jika dia mempunyai bukti lain untuk membuktikan ketidakhadiran JJ di dalam kelas, guru itu berkata dia merakam perbualannya dengan seorang lagi guru bernama Cikgu Eddy dengan dakwaan berikut:
    • "Apabila pengetua Suid mengetahui bahawa cikgu sejarah tidak hadir, Suid menyokong (melindungi) guru itu dan tidak mengambil tindakan terhadap guru yang tidak hadir itu. Pengetua Suid sebaliknya meletakkan kesalahan kepada [Ketua Panitia Sejarah] Cikgu Eddy..."
    • "Eddy menyatakan bahawa Suid memalsukan dokumen mengenai program sekolah dan Suid telah memaksa guru memasukkan markah terbang bagi menampakkan seolah-olah guru-gurunya telah cepat “key-in” pemarkahan mereka.” "Eddy mendakwa pemalsuan ini sudah terlalu biasa tetapi dia (Suid) melakukannya untuk menjadikan sekolahnya kelihatan ‘hebat' walaupun terdapat kegagalan yang mendasarinya."
    • "Beliau juga mengesahkan bahawa Suid menyedari ketidakhadiran guru, terutamanya JJ tetapi menyalahkan guru lain kerana tidak menyelesaikan masalah itu. Bagaimanapun di khalayak umum, pengetua akan mendakwa dia tidak pernah dimaklumkan tentang ketidakhadiran itu."
  • "Cikgu Nurhaizah juga berkata dia sangat kecewa dengan pengurusan sekolah dan hilang kepercayaan terhadapnya. Dia merasakan bahawa isu ini memberikan gambaran buruk terhadap sistem pendidikan."
    • "Bagaimanapun, saya percaya ramai pelajar takut dengan potensi reaksi negatif pihak sekolah terhadap mereka."
    • "Sememangnya, saya faham pihak pentadbiran sekolah mempunyai kecenderungan untuk mengganggu dan membuat ugutan terhadap pelajar yang menyuarakan isu ketidakhadiran guru."

Ini Kes Mahkamah Tinggi BKI-22NCvC-88/11-2020 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi YA Tuan Leonard David Shim. Selama bertahun-tahun, Cikgu Nurhaizah tahu realiti mengerikan ini. Dia melakukan segala-galanya untuk menyelamatkan pelajarnya. Namun, dia tidak pernah membebankan pelajarnya. Dia terus mengajar, berjuang, dan mengorbankan segala-galanya untuk kita. Namun beliau merupakan satu-satunya pemberi maklumat guru dalam keseluruhan perbicaraan.

Saya bekas pelajar SMK Taun Gusi. Guru itu, Jainal Jamran, tidak hadir berbulan-bulan dalam kelas Tingkatan 4 Sastera pada tahun 2013. Tiada tindakan oleh pihak sekolah. Di Tingkatan 5, Cikgu Nurhaizah menjadi guru Bahasa Inggeris kami dan menyelamatkan kelas kami, sekali lagi.

Cikgu Nurhaizah dilahirkan di Kota Belud. Beliau membesar di Kg. Taun Gusi, merupakan pelajar SMK Taun Gusi sendiri, dan kemudian menjadi guru SMK Taun Gusi. Dia seorang wira negara. Kami merupakan komuniti B40 di kampung; Kota Belud merupakan salah satu daripada 10 daerah termiskin di Malaysia. Sayang sekali, wira kami tidak mendapat perlindungan.

Tanpa pemberi maklumat → tiada kebenaran asas mengenai semua dasar, Kementerian, agensi, institusi. Tanpa pemberi maklumat → tiada kesegeraan untuk pembaharuan. Semua prosiding tatatertib / sivil / jenayah terancam tanpa perlindungan pemberi maklumat, kerana saksi berputus asa atau melarikan diri. Pemberi maklumat di Malaysia telah kesuntukan masa.

Pendedahan beliau dibuat dalam kes litigasi kepentingan awam oleh bekas pemberi maklumat pelajar vs Jainal, Suid, MOE, dan Kerajaan. Sejak saman 2020 mereka, saya telah menyokong mereka:

  1. Plaintif 1: Rusiah binti Sabdarin - Kg. Taun Gusi II, Ketua Kelas
  2. Plaintif 2: Calvina binti Angayung - Kg. Rampayan Laut, Ketua Pengawas Sekolah
  3. Plaintif 3: Nur Natasha Allisya binti Hamali - Kg. Taun Gusi, Pengawas Sekolah

Plaintiff ini yang sepina dia. KPM tidak pernah memanggil Cikgu Nurhaizah untuk memberi testimoni. Plaintif-Plaintif menambah enam lagi rakaman audio/video melibatkan Pengetua Suid, Cikgu Awang Erawan, Cikgu Norhana, dan lain-lain.

Guru dan pelajar perlu siasatan dan tindakan bebas: tiada lagi KPM siasat KPM sendiri. KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan tidak menjadi hakim sendiri.

Kenyataan ini disediakan oleh Kempen Tiada.Guru dan Safiah Omar (kanan dalam gambar atas), bekas pelajar Cikgu Nurhaizah Ejab (tengah dalam gambar atas).

Tiada.Guru

“Budaya takut bersuara ini mesti berakhir.”

SMK Taun Gusi di Kota Belud, Sabah - Safiah Omar